December 19, 2010

Dino Alive!

Anak cuti sekolah manakala bapa sibuk bekerja. Itu yang saya alami dan terus diburu rasa tidak senang. Hati saya remuk apabila pulang lewat malam, anak-anak berebut-berebut mendapatkan saya malah bergaduh-gaduh sesama sendiri hanya untuk menceritakan sesuatu kepada saya. Kenyataannya mereka rindu kehadiran saya di hati mereka dan pastinya perhatian yang mereka perlukan. Sebahagian usaha saya mengubat hati mereka, mereka saya bawa ke Pusat Sains Negara untuk melawat Dino Alive. Teringin juga saya melihat patung-patung dinasor dari jarak dekat maklumlah selama ini hanya melihat T-Rex, Brachiosaurus, Eoraptor dan lain-lain lagi di buku-buku, majalah mahupun di filem seperti Jurrasic Park.

Keinginan hanya tinggal keinginan, anak-anak semua menangis ketakutan melihat dinasor-dinasor tersebut (mengapalah penganjur tidak letak sahaja bahan pameran di tempat yang terang dan tiada bunyi-bunyi yang menakutkan?). Akhirnya kami banyak beraktiviti dengan bahan-bahan pameran yang lain di Pusat Sains Negara. Secara amnya kami sekeluarga tetap gembira dengan bahan yang ada.

Gambar 1 : Bayangan T-Rex menerjah mimpi Fateh.

Namun, di sinilah saya berasa kecewa (pada bahan pameran). Pusat Sains Negara tidaklah segah namanya. Kesemua ruang pamerannya ditutup kerana kerja-kerna pengubahsuaian. Mengapa semua? Tidak bolehkah dilakukan peringkat demi peringkat agar pengunjung sekurang-kurangnya dapat melawat ruang pameran yang lain? Belum lagi saya sebut bahan-bahan pameran yang tidak diselenggara sempurna, rosak dan lain-lain lagi. Saya amat berharap pihak pengurusan Pusat Sains Negara yang bernaung di bawah MOSTI dapat melihat perkara ini dengan lebih menyeluruh. Jika PETROSAINS boleh diselenggara dengan baik dan ada sahaja kakitangan yang sedia membantu para pengunjung untuk mendapatkan panduan dan penerangan tentang bahan pameran mengapalah Pusat Sains Negara tidak boleh?

Saya menyokong mana-mana pusat perkongsian ilmu seperti pusat sains, muzium dan zoo diselenggara dengan sebaik-baiknya. Di samping dapat memacu ekonomi, daya intelektual rakyat akan dapat sentiasa diransang dengan pelbagai program di tempat-tempat seperti ini. Saya tidak rasa rugi membayar yuran yang tinggi untuk ‘hiburan bermaklumat’ berbanding poket saya kering kerana melawat gedung membeli belah. Namun, biarlah berbaloi dengan apa yang kita bayar!



November 5, 2010

Coccinellidae a.k.a Ladybird (Versi 1)

Coklat buatan rumah (sendiri) berbentuk kumbang kura-kura a.k.a ladybird inilah yang mengimbau kenangan saya ketika kecil dahulu. Catatan.

October 27, 2010

Arak

Pada suatu malam saya melangkah masuk ke kedai 24 jam, 7-Eleven (7-Sebelas). Tekak terasa amat kering lalu peti sejuk kedai tersebut tempat pertama saya tuju. Saya mengambil sedikit masa untuk memilih air, dari satu pintu peti sejuk ke satu pintu saya buka.

Di hujung sana seorang warga Indonesia pantas membuka pintu peti sejuk yang paling hujung lalu mengeluarkan 3 botol besar yang kacanya berwarna hitam dan label botolnya berwarna biru bertulisan emas dan ada lukisan kepala harimau di sana. Tiba-tiba satu daripada botol-botol tersebut tergelincir daripada pegangnya.

"Prangg...." bunyi kaca botol hitam itu pecah. Air berwarna kuning jernih persis air kencing itu mengalir perlahan ke arah saya. Cepat-cepat saya beralih tempat.

Dengan pantas seorang pekerja lelaki membawa sebatang mop dan sebaldi air lalu membersihkan serpihan kaca dan air. Wajahnya masam mencuka kerana terpaksa membersihkan arak!

Saya berasa pening, bau masam aral itu menusuk tajam ke hidung saya. Cepat-cepat saya mengambil setin minuman ringan.

Di kaunter, saya berkata dengan wajah kelat-kelat masam, "Bau arak sangat busuk, bersihkanlah betul-betul ya!"

Gadis kaunter menarik sedikit mukanya, "Bau macam itu pun ada orang yang sanggup minum, ishhh, saya tidak fahamlah."

Di dalam hati saya membalas tidak terkeluar di lidah saya, "Kamu bekerja di sini pun ada sahamnya juga."

Namun, saya bersetuju dengan kata-kata gadis kaunter itu. Lalu saya teringat larangan Allah terhadap arak di dalam Surah Al-Maidah ayat 90 iaitu :

"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, Qurban untuk patung berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu memperolehi kejayaan."

Arak itu adalah ibu kejahatan.

October 25, 2010

Untung

Adik saya, Pak Di, baru menghasilkan sebuah buku iaitu Rancang Wang Dari Sekarang (RWDS). Saya tidak suka tumpang popular, saya sayalah, dia dialah. Masing-masing ada cara tersendiri. Ringkasnya, saya faham tentang kewangan dan saya tidaklah sampai berani ingin berkongsi-kongsi cukup untuk kegunaan diri sendiri.

Apapun, suatu hari saya minta 3 naskah buku daripada adik saya. Puas saya promosikan di pejabat dan hanya terjual 2 naskah sahaja yang kebetulan pembelinya memang tercari-cari buku seperti itu. Puas saya rasa. Pertama dapat juga jual walaupun 2 naskah sahaja. Keduanya dapat membantu pembeli tersebut memahami ilmu kewangan peribadi untuk diaplikasikan. Jual buku seperti ini di pejabat orang yang bergaji besar memang berhadapan dengan pandangan yang cukup negatif.

Semoga saya untung dunia dan akhirat. Amin.

October 22, 2010

Pemungut Sampah

Di dalam kesesakan lalu lintas yang saban hari warga kota tempuhi, saya dan kuda besi merah saya berhenti di Bulatan Sungai Besi bersebelahan dengan kilang roti Federal Bakery yang semakin sukar saya temui. Sabar menanti peluang untuk menyeberang jalan.

Muncul sebuah lori sampah dari sebelah kanan, perlahan sahaja. Memikirkan anak isteri yang mungkin meratap hiba melihat jenazah saya dengan kepala yang hancur saya nantikan saat yang lebih sesuai. Di ruang kokpit lori itu ada 3 orang lelaki pertengahan usia sedang berbual-bual sehingga salah seorang daripada mereka tersenyum-senyum mendengar celoteh rakannya.

Saya kaget, "Eh, ada seorang lagi di belakang kepala lori."

Seorang anak muda, kurus badannya berdiri sambil menutup hidungnya dengan sehelai tuala 'Good Morning'. Hanyir bau sampah hasil kerja warga kota pasti menusu-nusuk kuat hidungnya. Agaknya dia pekerja baru yang sedang melalui saat suai kenal dengan para seniornya atau ruang kokpit itu hanya muat-muat untuk 3 orang sahaja.

Satu perasaan bangga tersemai di hati saya terhadap anak muda itu. Dia memang pemungut sampah yang diletakkan jauh di bawah kelas masyarakat tapi dia bukan pemimpin yang diagung namun bobrok akhlaknya ataupun penagih dadah yang kemas penampilannya tetapi penghancur anak bangsa.

Dia memang pemungut sampah yang dikelilingi hanyir sampah dan busuknya sisa makanan kerana wangin dan harumnya sudah menusuk ke hidung Tuhan.

October 21, 2010

Hari Jadi

Setiap hari ramai orang menyambut ulangtahun kelahiran mereka. Ada berbilion umat Nabi Muhammad mustahillah jika ada satu hari dalam setahun tiada kelahiran.

Lazimnya kita semua akan bergembira dengan kedatangan hari lahir kita semua. Daripada ucapan selamat sehinggalah kepada menganjurkan parti besar-besaran. Majoriti akan ada sedikit upacara seperti tiup lilin dan potong kek. Bagi yang berkemampuan, hadiah diberikan.

Apa kata kita ubah cara menyambut hari ulangtahun? Sebelum sambutan seperti di atas dianjurkan kita renung pencapaian kita. Adakah apa yang dicita-citakan selama ini tercapai? Adakah kita menjadi warga bumi yang baik? Dan yang penting sekali adakah hubungan kita sesama manusia terutamanya dengan Allah cemerlang?

Setahun umur kita beranjak, semakin hampir kita dengan janji Allah iaitu kematian.

October 20, 2010

Coccinellidae a.k.a Ladybird

Coccinellidae atau ‘ladybird’ atau kumbang kecil atau kumbang kura-kura merupakan antara serangga kegemaran saya ketika kecil dahulu. Bentuknya yang membujur bulat berbadan merah dihiasi dengan tompokan kecil bersambung dengan kepala hitamnya yang bersesungut menyebabkan saya sentiasa mencarinya ketika bermain di rimbunan rumput. Lazimnya apabila terjumpa dengan kumbang kecil menawan ini saya akan biarkan ia merayap di atas badan saya sambil berbangga-bangga dengan kawan-kawan.

Tempoh hari, isteri saya membuat coklat buatan sendiri dan dibentukkan coklat itu kepada kumbang kecil berwarna merah jambu. Kenangan di atas terimbau dan saya sendiri sudah tidak pasti sudah berapa lama saya tidak berjumpa dan bermain dengan kumbang kecil ini. Di rumah inilah saya dibesarkan dan di rumah ini jugalah saya berlari-lari mengejar kumbang kecil ini tetapi itu semua ketika saya kecil lagi. Belum baligh pun.

Ke manakah si kumbang kecil ini? Saya ingin sekali berkongsi kenangan manis saya ketika kecil dengan anak-anak saya namun tanpa kehadiran si kumbang kecil pasti saya tidak bisa melakukannya. Jika kumbang kecil ini sudah hilang di kawasan rumah saya maka ini mungkin bukti betapa dahsyatnya pembangunan fizikal tidak terbatas sehingga merentap hak kumbang kecil untuk hidup sekaligus melenyapkan keceriaan anak-anak kecil zaman milineum kini yang ingin bermesra dengan alam.


August 18, 2010

Kuih-Muih

Ketika saya masih kecil-kecil dahulu pada bulan Ramadhan apabila petang dan tiba-tiba kedengaran ibu saya memanggil panjang itu bermakna ada dua perkara yang ingin disuruhnya iaitu pergi ke kedai runcit berdekatan atau menghantar kuih-muih ke rumah jiran tetangga. Jika kuih yang perlu dihantar maka dua tiga kali saya berulang alik dari rumah ke rumah jiran. Menariknya, saya pasti pulang bukan dengan tangan kosong, ada sahaja balasan yang diberikan.

Kesan jangka pendeknya adalah kami sekeluarga pada petang itu akan berbuka dengan pelbagai jenis kuih, kesan jangka panjangnya terhubung hubungan kejiranan yang mesra sekali sehinggalah ke hari ini.

Sayang sekali saya lihat fenomena ini sudah tidak ada sekarang. Masing-masing lebih senang membeli kuih di bazar Ramadhan dan makan sendiri-sendiri. Tidak ada usaha dalam merapatkan lagi hubungan kejiranan.

Nampaknya semakin maju kita, semakin renggang hubungan kita dengan para jiran. Bukankah salah satu akhlak Islam itu adalah berbaik-baik dengan jiran. Jika tidak mampu membuat kuih sendiri, apa salahnya beli kuih banyak sedikit dan berkongsi bersama jiran kita.

August 9, 2010

Seloka Ramadhan : Esok Puasa


Esok Puasa

Pagi-pagi lapar halwa
Janganlah buat lupa
Esok kita berpuasa

Pagi-pagi cari nasi
Betulkanlah niat di hati
Biar puasa membetulkan diri

Pagi-pagi teringat cucur
Jangan lupa bangun sahur
Juga teman isteri masak sahur

Pagi-pagi jangan membuta sahaja
Moga Allah terima puasa kita
Bukan lapar dan dahaga sahaja

Pagi-pagi tunjuk letih
Sedekah, berbuat baik juga solat terawih
Itu semua untuk kita jadi baik yang terlatih

Pagi-pagi keluar berjalan
Jangan lupa semua amalan
Solat malam juga baca Al-Quran

Pagi-pagi lipat cadar
Semoga kita bertemu Lailatul Qadar
Maka setiap malam kenalah sedar

Pagi-pagi buat lembik
Jangan satu bulan sahaja kita jadi baik
11 bulan lagi syaitan pun tabik

Pagi-pagi turun laman
Pohon ampun dan juga kemaafan
Semoga diri ini berpuasa dengan aman


Oleh : Sunardi Maulan (29 Syaaban 1431H @ 10 Ogos 2010)

August 4, 2010

Taman Herba

Rumah saya berlaman dan tiada apa-apa tumbuhan sekadar rumput, pokok mengkudu, tunggul pokok belimbing, pokok delima, pokok pinang dan pokok jambu air. Itupun kurang terjaga. Di luar halaman ada pula serai dan pucuk kayu manis.

Saya tidak suka pokok bunga kerana tidak boleh dimakan. Saya suka pokok-pokok herba yang boleh ditanam, kelihatan cantik lalu menjadi penghias laman dan yang penting boleh dimakan atau digunakan untuk perubatan. Masalahnya saya tidak tahu bagaimana hendak memulakannya.

Kunjungan saya sekeluarga ke Taman Warisan Pertanian di Putrajaya baru-baru ini membuka mata saya. Rupanya cantik juga pokok misai kucing dijadikan pokok pagar. Pokok tongkat ali boleh jadi pengganti pokok pinang, pokoknya tinggi melangit dan daunnya cantik seperti payung kecil. Banyak lagi yang saya pelajari dan menaikkan semangat saya untuk memulakan taman herba di rumah saya. Semoga semangat ini bukannya hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Saya jumpa satu laman blog yang berguna untuk saya jadikan panduan dan ia boleh dicapai dari sini. Semoga pokok pegaga, pokok daun kaduk, pokok limau purut, pokok pudina dan pokok hempedu hati yang sudah sekian lama tersemai di dalam pasu di belakang rumah dapat saya pindahkan ke tanah tidak lama lagi.

Berbudi pada tanah tiada ruginya.

August 2, 2010

Persiapan Aildilfitri

Ada beberapa status di Facebook yang memaklumkan rakan-rakan mereka yang lain bahawa mereka sudah siap menyediakan persediaan berhari raya nanti. Alhamdulillah, semoga mereka dapat menumpukan perhatian yang lebih lagi dengan ibadah pada bulan Ramadhan.

Saya juga tidak terkecuali. Hujung minggu lalu saya meluangkan masa untuk membeli pakaian untuk anak-anak sempena kedatangan Aidilfitri ini. Kami suami isteri mempercepatkan pembelian kerana memikirkan segala susah payahnya yang bakal kami lalui jika kami ingin membeli-belah pada bulan puasa nanti seperti kerenah anak-anak dan ramainya orang. Saya sendiri tidak berapa gemar berada di tengah-tengah suasana yang kelam-kabut. Oleh itu, pembaca budiman ada 1 lagi hari mingu untuk membuat persiapan hari raya. Moga-moga ibadah Ramadhan kita tidak tergangu ketika bulan puasa nanti. Amin.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kita dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Amin.


July 28, 2010

Jadual Juadah Ramadhan

Assalamualaikum,

Bulan puasa pun ada kesan negatifnya jika tidak kena pada caranya. Bulan puasa juga boleh menjadi medan tarbiah menguatkan lagi nafsu bukannya melemahkan nafsu melalui berlapar. Bulan puasa juga boleh menyebabkan seseorang itu kering poketnya sebelum tibanya hari raya.

Tanpa kawalan yang betul perbelanjaan kita pada bulan puasa akan meningkat bukannya sedikit tetapi banyak dan antara puncanya adalah perbelanjaan kita ke atas makanan atau juadah berbuka puasa kita. Maklumlah selepas lapar sehari, ikan bilis goreng yang selalunya dipandang sebelah mata pada bulan-bulan biasa pun boleh menjadi sedap. Kerana itulah salah satu tip sebelum beli belah adalah dengan mempastikan perut kita sudah kenyang terlebih dahulu agar kita tidak rambang mata sehinggalah berbelanja melebihi keperluan. Tetapi di bulan puasa tidak memungkinkan kita melakukan tip tersebut.

Oleh itu apa salahnya kita merancang apakah juadah berbuka puasa sehinggalah waktu bersahur sebelum bulan puasa lagi. Rancanglah lauk utama untuk dimasak atau dibeli, berapa jenis kuih yang ingin dirasai sehinggalah kepada lauk bersahur. Selepas itu disiplinkanlah diri untuk mengikut perancangan tersebut. Namun begitu, usahlah merancang apabila kita sudah masuk bulan Ramadhan lebih-lebih lagi apabila kita sudahpun melawat Bazar Ramadhan kerana perancangan itu pastiya sudah dipengaruhi dengan juadah yang telah telah kita lihat di Bazar Ramadhan tersebut.

Di samping itu, tetapkan kos yang kita sanggupi jika kita merancang untuk berbuka sekali dua di hotel-hotel ataupun restoran sekiranya ada. Dengan perancangan menu yang rapi maka saya kira tidaklah menjadi satu kesalahan kepada kita untuk makan di tempat-tempat yang sebegitu rupa. Dalam 30 hari berpuasa dan berbuka dengan makanan yang sederhana maka jadikanlah sehari dua kita makan sedap-sedap sedikit.

Semoga puasa kita semua akan lebih diberkati oleh Allah pada tahun ini.

July 26, 2010

Ramadhan

Ramadhan akan tiba. Umat Islam di Malaysia dijangkakan akan memulakan Rukun Islam yang ketiga ini bermula dari 11 Ogos 2010. Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia dan penuh dengan keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri yang tidak terdapat di dalam bulan lain seperti Lailatul-Qadar seperti yang disebut oleh Junjungan kita Rasullullah s.a.w :


“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah memfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, ditambat padanya syaitan-syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.” (Ahmad, al-Nasa’ie daripada Abu Hurairah).


Betapa istimewanya Ramadhan. Manakala Allah telah memerintahkan kewajiban berpuasa itu melalui Surah Al-Baqarah – 183 :


“Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”


Saya mula berpuasa seawal usia 7 tahun dan ini bermakna sudah suku abad saya menunaikan kewajiban saya ini. Muhasabah saya ke atas diri ini untuk ibadah puasa pada tahun ini adalah asas puasa saya ini berdasarkan keimanan dan ketakwaan saya kepada Allah ataupun saya hanya mengikut ritual atau kebiasaan masyarakat Islam?


Ya Allah, tetapkan hatiku ini untuk Ramadhan tahun ini ibadah puasaku ini adalah semata-mata keranaMu Ya Allah. Seandainya puasa-puasaku yang dahulu bukanlah keranaMu, ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah di atas kelalaian hambaMu ini.


Nota : Berselawatlah ke atas Nabi Muhammad S.A.W apabila mendengar atau membaca namanya.

July 24, 2010

Mesin Rumput

Assalamualaikum,

Dua minggu yang lalu saya telah membeli sebuah mesin rumput galas dengan harga RM310 sahaja. Saya teruja dengannya kerana hasrat untuk memilikinya sudah saya simpan sekian lama dan kini ia menjadi ‘alat permainan’ baru saya.

Selang beberapa hari kemudian, mesin rumput tersebut hilang dicuri orang. Innalillah.

Saya tidak tahu kepada siapa hendak saya persalahkan namun apabila isteri menegur, “Daripada hari awak beli mesin rumput itu sudah saya ingatkan supaya disimpan elok-elok tapi awak letak juga di sini,” maka saya meletakkan kesalahan itu di atas bahu saya sendiri. Sudah lumrah pencuri, tuan punya barang terlalai seketika, lesaplah barang tersebut dicuri. Jika saya mendengar pesanan isteri saya tempoh hari pasti saya tidak kehilangan mesin rumput itu. Nasi sudah menjadi bubur.

Mujurlah sempat juga saya bermain dengannya sekali.

Catatan Pertama

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum,

Terima kasih kepada pembaca budiman yang sudi menjenguk blog yang tidak seberapa ini. Dalam zaman serba pantas ini, blog mungkin sudah tidak signifikan bagi sesetengah orang namun blog tetap mempunyai peranannya yang tersendiri walaupun dengan kehadiran perisian yang hebat-hebat seperti Facebook, Friendster mahupun Twitter.

Blog adalah satu catatan yang lahir daripada hati, pengetahuan penulisnya, emosi mahupun penyebaran maklumat-maklumat yang tertentu. Saya kira ini sukar didapati dalam Facebook mahupun Twitter. Malahan apabila saya bertanya kepada seseorang apa itu Twitter, dia menjawab ringkas, “Twitter itu mikro-blogging.”

Maka saya kira blog itu masih ada tempatnya lagi di dunia siber ini. Malahan jika saya secara peribadi melihat ke belakang kembali, blog ini adalah blog saya yang ketiga. Saya sudah padamkan blog pertama, saya kira saya ingin biarkan sahaja blog kedua dan ingin menulis dengan blog terkini saya ini. Mengapa saya gagal dalam dua blog yang awal itu?

Saya ingin menjadi orang lain. Mula-mula, saya hanya ingin menjadikan blog orang lain itu contoh dan tanpa sedar saya terikut-ikut gaya mereka. Akhirnya saya terperangkap dan kini saya ingin menjadi diri saya sendiri, menulis berdasarkan pengetahuan, pendapatan mahupun emosi saya. Semoga apa yang saya bakal tulis nanti akan menjadi panduan pembaca budiman sekali dalam memandu kehidupan yang fana ini.

Ya Allah, semoga penulisan blogku ini menjadi satu ibadah kepada diriku dan mendatangkan manfaat kepada yang lain. Amin.

Bertemu lagi.

Sunardi Maulan