October 4, 2012

The Amazing Blind Cook


Ada inspirasi yang sangat mengesankan hati saya sehingga kini. Saya berbicara mengenai seorang peserta Mastechef USA musim ketiga yang buta, benar dia adalah peserta buta pertama saya lihat dalam rancangan memasak, yang bernama Christine Ha, seorang isteri dan seorang pelajar lepasan ijazah yang berasal dari Houstan, Texas.

Seorang wanita yang hilang penglihatannya lebih kurang 10 tahun lalu menggunakan sepenuhnya semua baki deria yang ada termasuk menggunakan kebolehannya membayangkan warna, susunan dan bentuk makanan yang diinginkan agar dapat diterjemahkan di atas pinggan seterusnya memikat rasa sesiapa sahaja. Sebagai seorang yang suka memasak, saya kagum dengan kebolehannya kerana saya sendiri masih terkial-kial dalam menentukan rasa apatah lagi menghias makanan.

Tontonlah video di bawah ketika sesi ujibakat diadakan di hadapan tiga orang ‘chef’ yang punya karismanya tersendiri. Video ini bisa meruntun hati melihat kesungguhan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh tukang masak buta ini, Christine Ha.



Malulah kita jika selalu mengatakan tidak boleh, mustahil dan apa sahaja alasan yang sentiasa kita berikan bukan kepada orang lain tetapi sebenarnya kepada diri kita sendiri.

Tahu siapa kita dan jelas dengan keinginan dan kemahuan kita, Insya Allah kejayaan akan mengiringi kita. Seperti yang Christine Ha ucapkan, “I am definitely a competitive person and I really want to get this apron.”

Saya tahu Christine akan ke pusingan seterusnya apabila juri,Joe Bastianich, berkata, “Your eyes beam with happiness cried in passion and you have a lot to proud with this. Amazing. Amazing accomplishment.”  

September 9, 2012

Sup Kacang Pea a.ka Green Peas


Kacang pea (green peas) merupakan antara bahan makanan yang saya kurang arif tentang cara memasaknya. Biasanya ia menjadi hiasan dalam sos cendawan untuk pelbagai jenis stik, bahan dalam sayur campur, sup atau dimakan begitu sahaja dengan hirisan bawang dan perahan lemon.

Hari ini entah bagaimana laju sahaja tangan saya mencapai setin kacang pea dari almari barangan kedai. Setelah beli barulah terfikir-fikir bagaimana hendak memasaknya. Segera meng’google’ dan tertarik dengan resepi mudah daripada sebuah blog.

Rupa-rupanya kacang pea punya banyak khasiat. Antaranya adalah agen antioksida dan anti radang  yang baik. Pengambilannya yang berkala dengan kekacang yang lain mengurangkan risiko barah perut. Ini semua adalah kerana kandungan coumestrolnya.  Lebih menarik lagi, walaupun ia makanan yang rendah lemak dan kaya serat, ia juga kaya dengan Omega-3 dan Omega-6 berasaskan tumbuhan yang terbukti baik untuk kesihatan kita semua. Malahan ia kaya dengan dengan beta-karotena dan Vitamin E.

Yang pastinya, cubaan saya memasak sup kacang pea hari ini ternyata berbaloi dan pastinya menjadi salah satu bahan makanan yang akan saya masukkan dalam diet harian saya.

July 10, 2012

Pengaktifan Semula

Sudah lapan bulan laman blog ini bersawang. Mungkin masih pilu dan kecewa dengan kegagalan pasukan bolasepak Selangor merebut Piala Malaysia tahun lepas. Kegagalan yang membawa kepada rasa malas yang sepatutnya sekejap tetapi terus berlanjutan sehingga hari ini.

Saya akan cuba mengaktifkannya kembali, Insya-Allah, dengan matlamat tertentu.