April 19, 2011

Sinergi

Saya memandu perlahan di jalan kecil itu, di kiri kanannya meja-meja dan kerusi-kerusi untuk para pelanggan yang kosong, mencari ruang untuk parkir kenderaan saya. Ada meja dipenuhi dengan pelanggan berbaju seragam ungu dan oren dengan dua tiga orang cuba mengintai-ngintai isi kenderaan saya. Bisik hati saya, “Pedulikan, anak sudah lapar.”

Usai mengunci kenderaan segera saya memimpin anak saya menuju ke sebuah meja makan yang kosong. Mata saya segera menangkap pojok membakar sate. Menoleh ke arah isteri yang memimpin puteri kecil saya bertanya, “Sejak bila restoran ini menjual sate?”.


Isteri saya hanya mengangkat bahunya, raut kehairanan terukir di wajahnya. Sambung saya, “Peniaga Melayu sukar bersinergi. Sukar sangatkah?”


Restoran itu memang maju. Terkenal dengan mee rebus dan mee bandung Johornya (tetapi masih belum dapat melawan yang asli di Johor sana). Pada pagi minggu, nasi lemaknya boleh tahan juga rasanya. Namun apabila mereka memutuskan untuk menjual sate, sedikit sebanyak hati saya berasa sedih.


Di sebelahnya adalah jiran perniagaannya malahan mereka berkongsi dinding. Kecil sahaja gerainya dan sumber pendapatan benar-benar bergantung kepada jualan sate mereka, nasi lemak dan minuman yang terhad. Satenya mungkin bukan yang tersedap tetapi tetap menjadi pilihan. Apabila jiran sebelah sudah berniaga sate juga seolah-olah ingin mencurah pasir ke dalam periuk nasi peniaga sate itu.


Apa salahnya bersinergi. Sini jual sate sana jual mee rebus, mee bandung, makanan goreng-goreng, makanan barat dan lain-lain lagi. Saling bantu membantu memajukan perniagaan masing-masing. Jika bukan bangsa sendiri yang saya yakin akidahnya pun sama siapa lagi mahu menolong?


Bukankah bagus masing-masing menjadi kaya?

April 18, 2011

Sate, Dua.

Seorang lelaki sedang enak-enak menikmati satenya terhenti kunyahannya apabla menyedari kawan sedang asyik merenungnya, atas ke bawah.

“Kenapa kau tengok aku dari tadi?” tanya lelaki tersebut sambil mengesat lelehan kuah kacang sate di mulutnya.

“Sejak bila kau pakai susuk?” balas kawannya tanpa menjawab soalan.

“Gila kau apa, syirik!” tingkah lelaki itu.

“Habis, kenapa kau tidak makan sate tidak terus dari lidinya? Kau terpaksa keluarkan dagingnya dari lidinya baru kau makan. Itukan pantang besar orang pakai susuk,” jelas kawannya sambil mencebik, ada perasaan curiga.

“Aku sakit gigilah. Kau banyak sangat tengok cerita hantulah,” balas lelaki itu cepat-cepat.

“Oh…. Begitu.”

April 11, 2011

Sate, Satu.

Kami bersalaman saat saya diperkenalkan, “Ini eksekutif baru kita, dari Semenanjung.”

Selepas bersalaman dengan ketua mereka saya diperkenalkan dengan anak-anak buahnya yang lain, bertukar-tukar senyuman dan saling memperkenalkan diri, “Dari negeri mana?”

“Selangor,” pendek balasan saya.

“Selangor di mana?” salah seorang daripada mereka pantas bertanya, pekat dialek Labuannya.

“Kajang,” tidak pasti mereka tahu atau tidak di mana tempat saya dibesarkan itu.

“Oh, Kajang. Pernah pergi. Satenya sedap,” tingkah seorang lagi.

Saya tersenyum bangga walaupun saya tidak pernah berniaga sate. Tiba-tiba saya terkejut dengan satu soalan luar jangka, “Jadi awak makan sate hari-harilah?”

Senyuman bangga itu bertukar kelat.

April 7, 2011

Bola Sepak?

Tidaklah pandai sangat namun tidaklah dikategorikan sebagai kaki bangku.

1988 – Darjah 4B (B itu kerana nama guru kelas adalah Cikgu Baba).


Kawan saya yang rendang-rendang sahaja tingginya berdiri di tengah padang ketika waktu rehat sambil memegang bola. Di belakangnya ada beberapa orang lagi bak juak-juak politik buat sidang akhbar.

“Hari ini cikgu suruh aku pilih pemain untuk mewakili pasukan bola sepak bawah 10 tahun sekolah kita,” ada nada bangga pada suaranya.

Sebentar sahaja satu barisan yang agak panjang dibentuk oleh kawan-kawan yang lain yang kepingin memanjangkan senarai aktiviti luar kelas mereka termasuk saya. Pemilihannya mudah, tendang bola ke arah gol, siapa boleh tewaskan penjaga gol itu maka dia boleh dipertimbangkan ke peringkat seterusnya.

Seorang demi seorang mengambil tendangan. Semakin lama semakin jelas unsur-unsur pilih kasih, neopotisme dan kronisme. Saya masih menyimpan harapan walaupun saya lebih banyak menghabiskan masa di kantin berbanding di padang bola.

Tiba giliran saya. Dub! Bola masuk. Saya pandang kawan saya yang rendang-rendang itu mohon dipertimbangkan.

“Kau sepak tonjol! Maaf!” jerit kawan saya itu tanpa rasa bersalah.

“Aku sepak masuk!” bantah saya.

“Tonjol! Cikgu tidak suka pemain sepak tonjol,” balasnya sambil menjual nama cikgu.

Di mana keadilan?

Apapun, pasukan bawah 10 tahun sekolah kami tidak ke mana tahun itu.

Sumber gambar : http://www.walkingtheamazon.com/2008/09/the-tranquil-ucayali/

April 5, 2011

Kubur

Dua tiga hari dan sebulan dari sekarang akan genaplah 4 tahun pemergian ibu yang tercinta. Dua hari lepas juga saya meluangkan masa menziarahi pusaranya. Kawasan kubur yang saya pernah geruni dahulu kini menjadi tempat bersemadinya kedua orang tua saya dan juga ramai orang yang saya kenali, ramainya lebih tua daripada saya dan sedikitnya baya-baya saya.

Dahulu, rumah saya dan kawasan kubur itu dipisahkan dengan pepohon getah, kemudian semak belukar dan kini diganti pula dengan padang bola.

Ketika saya sedang membersihkan kubur ibu saya itu sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran baru saya terperasan bahawa dari kubur ibu saya kini sudah boleh nampak terus tembok rumah dan atap rumah saya.

Teringat saya seloroh arwah bapa saya, “Senang berumah di tepi kubur, mati nanti senang nak tanam.”

Kini saya menghuni rumah pusaka mereka dan saya percaya seloroh yang sama nanti akan saya tuturkan.

Ya Allah, matikanlah aku dalam keadaan yang baik dan termasuk di dalam golongan yang beriman. Amin. Al-Fatihah untuk kedua orang tuaku.