July 28, 2010

Jadual Juadah Ramadhan

Assalamualaikum,

Bulan puasa pun ada kesan negatifnya jika tidak kena pada caranya. Bulan puasa juga boleh menjadi medan tarbiah menguatkan lagi nafsu bukannya melemahkan nafsu melalui berlapar. Bulan puasa juga boleh menyebabkan seseorang itu kering poketnya sebelum tibanya hari raya.

Tanpa kawalan yang betul perbelanjaan kita pada bulan puasa akan meningkat bukannya sedikit tetapi banyak dan antara puncanya adalah perbelanjaan kita ke atas makanan atau juadah berbuka puasa kita. Maklumlah selepas lapar sehari, ikan bilis goreng yang selalunya dipandang sebelah mata pada bulan-bulan biasa pun boleh menjadi sedap. Kerana itulah salah satu tip sebelum beli belah adalah dengan mempastikan perut kita sudah kenyang terlebih dahulu agar kita tidak rambang mata sehinggalah berbelanja melebihi keperluan. Tetapi di bulan puasa tidak memungkinkan kita melakukan tip tersebut.

Oleh itu apa salahnya kita merancang apakah juadah berbuka puasa sehinggalah waktu bersahur sebelum bulan puasa lagi. Rancanglah lauk utama untuk dimasak atau dibeli, berapa jenis kuih yang ingin dirasai sehinggalah kepada lauk bersahur. Selepas itu disiplinkanlah diri untuk mengikut perancangan tersebut. Namun begitu, usahlah merancang apabila kita sudah masuk bulan Ramadhan lebih-lebih lagi apabila kita sudahpun melawat Bazar Ramadhan kerana perancangan itu pastiya sudah dipengaruhi dengan juadah yang telah telah kita lihat di Bazar Ramadhan tersebut.

Di samping itu, tetapkan kos yang kita sanggupi jika kita merancang untuk berbuka sekali dua di hotel-hotel ataupun restoran sekiranya ada. Dengan perancangan menu yang rapi maka saya kira tidaklah menjadi satu kesalahan kepada kita untuk makan di tempat-tempat yang sebegitu rupa. Dalam 30 hari berpuasa dan berbuka dengan makanan yang sederhana maka jadikanlah sehari dua kita makan sedap-sedap sedikit.

Semoga puasa kita semua akan lebih diberkati oleh Allah pada tahun ini.

July 26, 2010

Ramadhan

Ramadhan akan tiba. Umat Islam di Malaysia dijangkakan akan memulakan Rukun Islam yang ketiga ini bermula dari 11 Ogos 2010. Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia dan penuh dengan keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri yang tidak terdapat di dalam bulan lain seperti Lailatul-Qadar seperti yang disebut oleh Junjungan kita Rasullullah s.a.w :


“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah memfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, ditambat padanya syaitan-syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.” (Ahmad, al-Nasa’ie daripada Abu Hurairah).


Betapa istimewanya Ramadhan. Manakala Allah telah memerintahkan kewajiban berpuasa itu melalui Surah Al-Baqarah – 183 :


“Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”


Saya mula berpuasa seawal usia 7 tahun dan ini bermakna sudah suku abad saya menunaikan kewajiban saya ini. Muhasabah saya ke atas diri ini untuk ibadah puasa pada tahun ini adalah asas puasa saya ini berdasarkan keimanan dan ketakwaan saya kepada Allah ataupun saya hanya mengikut ritual atau kebiasaan masyarakat Islam?


Ya Allah, tetapkan hatiku ini untuk Ramadhan tahun ini ibadah puasaku ini adalah semata-mata keranaMu Ya Allah. Seandainya puasa-puasaku yang dahulu bukanlah keranaMu, ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah di atas kelalaian hambaMu ini.


Nota : Berselawatlah ke atas Nabi Muhammad S.A.W apabila mendengar atau membaca namanya.

July 24, 2010

Mesin Rumput

Assalamualaikum,

Dua minggu yang lalu saya telah membeli sebuah mesin rumput galas dengan harga RM310 sahaja. Saya teruja dengannya kerana hasrat untuk memilikinya sudah saya simpan sekian lama dan kini ia menjadi ‘alat permainan’ baru saya.

Selang beberapa hari kemudian, mesin rumput tersebut hilang dicuri orang. Innalillah.

Saya tidak tahu kepada siapa hendak saya persalahkan namun apabila isteri menegur, “Daripada hari awak beli mesin rumput itu sudah saya ingatkan supaya disimpan elok-elok tapi awak letak juga di sini,” maka saya meletakkan kesalahan itu di atas bahu saya sendiri. Sudah lumrah pencuri, tuan punya barang terlalai seketika, lesaplah barang tersebut dicuri. Jika saya mendengar pesanan isteri saya tempoh hari pasti saya tidak kehilangan mesin rumput itu. Nasi sudah menjadi bubur.

Mujurlah sempat juga saya bermain dengannya sekali.

Catatan Pertama

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum,

Terima kasih kepada pembaca budiman yang sudi menjenguk blog yang tidak seberapa ini. Dalam zaman serba pantas ini, blog mungkin sudah tidak signifikan bagi sesetengah orang namun blog tetap mempunyai peranannya yang tersendiri walaupun dengan kehadiran perisian yang hebat-hebat seperti Facebook, Friendster mahupun Twitter.

Blog adalah satu catatan yang lahir daripada hati, pengetahuan penulisnya, emosi mahupun penyebaran maklumat-maklumat yang tertentu. Saya kira ini sukar didapati dalam Facebook mahupun Twitter. Malahan apabila saya bertanya kepada seseorang apa itu Twitter, dia menjawab ringkas, “Twitter itu mikro-blogging.”

Maka saya kira blog itu masih ada tempatnya lagi di dunia siber ini. Malahan jika saya secara peribadi melihat ke belakang kembali, blog ini adalah blog saya yang ketiga. Saya sudah padamkan blog pertama, saya kira saya ingin biarkan sahaja blog kedua dan ingin menulis dengan blog terkini saya ini. Mengapa saya gagal dalam dua blog yang awal itu?

Saya ingin menjadi orang lain. Mula-mula, saya hanya ingin menjadikan blog orang lain itu contoh dan tanpa sedar saya terikut-ikut gaya mereka. Akhirnya saya terperangkap dan kini saya ingin menjadi diri saya sendiri, menulis berdasarkan pengetahuan, pendapatan mahupun emosi saya. Semoga apa yang saya bakal tulis nanti akan menjadi panduan pembaca budiman sekali dalam memandu kehidupan yang fana ini.

Ya Allah, semoga penulisan blogku ini menjadi satu ibadah kepada diriku dan mendatangkan manfaat kepada yang lain. Amin.

Bertemu lagi.

Sunardi Maulan