October 21, 2011

Misi 33 - Tiga

Benar Selangor tewas dan perlu mengatasi defisit 2 gol yang dilepaskan di Shah Alam tempoh hari. Red Giant sudah cedera dan tiada pilihan lagi kecuali menang untuk menjadikan Misi 33 satu kenyataan.


Tidak mahu cakap banyak kerana ramalan saya adalah Selangor MENANG 4 gol tanpa balas.

Nantikan amukan Red Giant wahai Sang Penyu.

October 20, 2011

3 Mata


Seorang anak muda yang dahagakan ilmu bertanya kepada Abu Nawas, “Mengapakah ada jawapan yang pelbagai untuk satu soalan yang sama?”

Tenang Abu Nawas menjawab, “Manusia itu terbahagi kepada tiga cara penglihatan, penglihatan dengan mata kasar, penglihatan dengan akal dan penglihatan dengan hati.”

Bertanya lagi anak muda itu, “Apakah yang dimaksudkan dengan penglihatan dengan mata kasar itu?”

Abu Nawas menjelaskan, “Seseorang yang melihat bintang-bintang di langit akan mengatakan bintang itu kecil kerana hanya melihat dengan mata kasar.”

Bertanya lagi anak muda itu, “Apakah yang dimaksudkan dengan penglihatan dengan akal itu pula?”

Sambil tersenyum, Abu Nawas menyambung, “Seseorang yang melihat bintang-bintang di langit dan mengatakan bintang itu besar kerana ilmu yang ada padanya mengenai bintang-bintang adalah orang yang melihat dengan akal.”

Bertanya lagi anak muda itu, “Maka apa yang dimaksudkan dengan penglihatan dengan hati itu pula?”

Bertambah lebar senyuman Abu Nawas lalu menjawab tenang, “Seseorang yang bijaksana dan mengerti bahawa bintang itu besar namun tetap mengatakn ia kecil kerana dia sedar bahawa Allah Maha Besar. Itulah orang yang melihat dengan hati.”

Abu Nawas pun berlalu pergi meninggalkan anak muda itu.



October 14, 2011

Misi 33 – Dua


Separuh Akhir Piala Malaysia

Selangor vs Terengganu

Negeri Sembilan vs T-Team


T-Team pasti berusaha keras untuk pertama kali layak ke akhir. 

Terengganu pula pasti akan berusaha mempertahankan reputasi mereka sebagai Juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super.

Negeri Sembilan pula ingin mengulang kejayaan mereka pada tahun 2009.

Selangor? Angka 33 sangat keramat apatah lagi untuk menjulangnya di Stadium Shah Alam nanti. Ayuh, hanya dua halangan sahaja lagi untuk merealisasikan impian ini!

Pusingan yang menarik!


October 13, 2011

Misi 33 - Satu

Selepas berdebar menyaksikan perlawanan hidup mati Selangor menentang Kuala Lumpur pada peringkat kumpulan, Selangor dengan penuh bergaya mengatasi Perak dengan 3 gol berbalas 1 di Stadium Shah Alam pada perlawanan suku akhir pusingan pertama tempoh hari. Jaringan cantik Shafiq Rahim dan Amirulhadi membenamkan harapan Perak. Sayang, Bunyamin dibuang padang apabila dilayangkan kad kuning buat kali kedua.

Menjelang bertandangnya Selangor di Ipoh untuk pusingan kedua pasti mengundang debar yang tersendiri. Kekosongan Bunyamin pasti diisi oleh Hardy Jaafar ataupun Fazilidin Khalid. Percaturan P Maniam harus berhati-hati kerana ramai pemain sudah memiliki kad kuning dan sebarang kesilapan di atas padang boleh mengundang masalah untuk perlawanan seterusnya.

Taktikal? Serahkan pada P Maniam dan pembantu-pembantunya.

Sebagai penyokong, saya mendoakan Selangor dapat merealisasikan Misi 33 pada tahun ini! Saya rindukan julangan Piala Malaysia oleh RED GIANTS! 

 

October 12, 2011

Pandai Tetapi Tidak Bijak


Dia masih basah, kesan wuduk jelas kelihatan.

Dia sedang bersiap sedia untuk bersembahyang, hanya tinggal bahagian kepalanya sahaja untuk ditutup sempurna sebelum sujud kepada Yang Esa.

Yang tua tiba-tiba menerjah masuk lalu mencuit tangannya. Kulit bertemu kulit. “Batal air sembahyang Aisha!”

Berubah wajahnya, masam mencuka dan matanya tajam memandang lelaki itu. “Pakcik jahat!”

Segera ditanggalkan telekungnya lalu menuju ke bilik air. Tidak lama kemudian dia keluar lagi, basah dek kesan wuduk. Kaget Pakciknya melihat anak saudaranya itu. “Kenapa ambil wuduk semula?”

Dengan nada kecewa Aisha membalas, “Wuduk Aisha batallah. Pakcik sentuh Aisha tadi.”

Terburai ketawa Pakciknya. Aisha kelihatan hairan dengan tindak-balas Pakciknya itu. Lenyap ketawa, Pakcik bertanya, ”Bukankah Pakcik muhrim Aisha? Bukan muhrim sahaja malah boleh jadi wali untuk Aisha.”

Berkerut dahi Aisha, “Benarkah?”

Pakcik geleng-geleng kepala cuba mencari jalan ringkas menerangkan ilmu fekah yang disalah tafsir oleh anak saudaranya itu. “Selagi lelaki itu tidak boleh berkahwin dengan Aisha maka sentuhan Aisha dengan mereka tidak membatalkan wuduk Aisha. Itulah muhrim. Pakcik tidak boleh kahwin dengan Aisha maka Pakcik adalah muhrim Aisha dan jika bersentuhan maka ia tidak membatalkan wuduk Aisha”

Mulut Aisha terbentuk seperti huruf O. “Oh, ingat hanya dengan Abah, Atuk dan adik Umar sahaja tidak batal.”

Tersenyum Pakcik mendengarkan alasan anak saudaranya itu. “Itulah sebabnya jangan menghafal semata-mata apabila belajar. Fahami betul-betul ilmu itu kerana yang penting adalah aplikasi ilmu tersebut. Jika tidak kita akan jadi seperti burung kakak tua. Pandai bertutur tetapi tidak faham apa yang dituturkan.”'

Aduh, inikah generasi yang ingin dilahirkan. Pandai tetapi tidak faham.

October 11, 2011

Tosai


Salah satu menu rakyat Malaysia yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia tidak kira bangsa. Adunan tepung beras yang dimasak  di atas kuali leper dan dimakan dengan kuah dal, kari dan diserikan lagi dengan chutni kelapa.

Tetapi di sebalik tosai ini ada kisah yang menjadi pengajaran kepada saya sehingga ke hari ini.

Hari itu ada jamuan kelas. Setiap orang membawa makanan masing-masing dari rumah dan berbangga-bangga dengan masakan ibu mereka. Ada juga yang jelas-jelas makanan itu dibeli di gerai-gerai tepi jalan tetapi mereka tetap tidak mahu kalah dengan rakan-rakan yang lain. Semua makanan diletakkan di atas meja dan masing-masing tidak sabar-sabar menanti kedatangan guru sebagai tanda jamuan bermula. Ada nasi lemak, ada roti jala, ada kek, ada karipap dan ada juga tosai. 

Tosai?

Tosai itu dibawa oleh seorang murid India, seorang lagi kawannya membawa muruku sahaja. Mereka berdua sahajalah murid India di sekolah itu. Yang lainnya Melayu. Oleh sebab itu, mereka berdua seperti isi dan kuku. Ke kantin bersama, ke perpustakaan bersama, duduk bersama malahan ke tandas pun bersama. Tapi saya suka juga bercakap dengan mereka, berbual-bual ringan. Saya suka dengar mereka bercakap Melayu dengan telor India mereka, sambil-sambil itu saya tolong mereka betulkan beberapa perkataan yang mereka salah guna.Tetapi pada hari itu, mereka seperti terasing, budak-budak Melayu yang lain sibuk bermain sesama sendiri tetapi mungkin kerana mereka sudah biasa, mereka tidak kisah.

Tidak lama kemudian, guru kelas pun sampai.  Semua murid bersorak, murid India itupun bersorak sama. Ada ucapan dan ada juga persembahan daripada pelajar tidak kira apa jenispun, ada yang menyanyi, ada yang bersajak malahan persembahan yang tiada siapa faham pun ada. Tidak mengapalah, atas nama seni, kita sorakkan sahaja. Selepas itu? Masa untuk makan.

Sudah namanya budak, apabila tiba waktu jamuan seperti anak ayam kelaparan mengerumuni bekas dedak. Berebut-rebut kemudian tidak berhenti-henti bercakap. Tersembur makanan lalu diketawakan, memang tidak beradab.  Lama-kelamaan makanan pun habis. Yang tinggal cuma, tosai dan muruku nun di bucu meja. 

Tosai dan muruku sahaja?

Dua murid India berpandangan sesama sendiri. Bercakap sesama mereka di dalam bahasa Tamil. Raut wajah mereka menunjukkan mereka sangat berharap dapat seseorang akan mencuba makanan mereka. Semua sudut kelas mereka perhatikan, tiada siapa yang pedulikan mereka. Tiba-tiba mata mereka tertancap kepada saya. Tiada kata yang dikeluarkan tetapi bahasa anak mata mereka sangat saya fahami. Saya hampiri makanan mereka, muruku di dalam bungkusan plastik yang sudah terbuka. Tosai di dalam bekas makanan cantik terletak di atas daun pisang. Ada sekeping dua tosai, kuah dal pekat juga chutni kelapa.

Saya pandang mereka dengan wajah yang bersalah. “Maaf, saya tidak biasa makan benda ini.”

Ada raut kecewa pada wajah mereka. Perlahan mereka ambil bekas makanan mereka, ditutup kemas-kemas dan dimasukkan semula ke dalam beg mereka. Ketika rakan-rakan lain menyimpan bekas kosong, mereka membawa pulang makanan yang tidak terusik. Saya hanya mampu memandang mereka dengan pandangan sayu.

Maafkan saya Ganthimaty dan “R” (saya tidak ingat nama seorang lagi) kerana tidak menghargai makanan yang kamu bawa. Entahlah, benarkah kerana tidak biasa atau ada sedikit perasaan bahawa mereka bukan bangsa saya yang menyebabkan saya tidak mahu menjamah makanan mereka walaupun telah dipelawa. Selepas cuti sekolah akhir tahun pada tahun itu, mereka tidak ada lagi. Khabarnya sudah bertukar sekolah. Saya hanya dapat mengenang pandangan sayu mereka pada tahun sebelumnya.

Itu kisah tosai saya. Kisah yang apabila saya kenang kembali membuatkan saya lebih terbuka untuk menerima perbezaan di antara satu kaum dan agama yang lain. Yang penting kita hormat-menghormati dan saling memahami.

Kini, tiada tosai yang saya tolak.