August 4, 2010

Taman Herba

Rumah saya berlaman dan tiada apa-apa tumbuhan sekadar rumput, pokok mengkudu, tunggul pokok belimbing, pokok delima, pokok pinang dan pokok jambu air. Itupun kurang terjaga. Di luar halaman ada pula serai dan pucuk kayu manis.

Saya tidak suka pokok bunga kerana tidak boleh dimakan. Saya suka pokok-pokok herba yang boleh ditanam, kelihatan cantik lalu menjadi penghias laman dan yang penting boleh dimakan atau digunakan untuk perubatan. Masalahnya saya tidak tahu bagaimana hendak memulakannya.

Kunjungan saya sekeluarga ke Taman Warisan Pertanian di Putrajaya baru-baru ini membuka mata saya. Rupanya cantik juga pokok misai kucing dijadikan pokok pagar. Pokok tongkat ali boleh jadi pengganti pokok pinang, pokoknya tinggi melangit dan daunnya cantik seperti payung kecil. Banyak lagi yang saya pelajari dan menaikkan semangat saya untuk memulakan taman herba di rumah saya. Semoga semangat ini bukannya hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Saya jumpa satu laman blog yang berguna untuk saya jadikan panduan dan ia boleh dicapai dari sini. Semoga pokok pegaga, pokok daun kaduk, pokok limau purut, pokok pudina dan pokok hempedu hati yang sudah sekian lama tersemai di dalam pasu di belakang rumah dapat saya pindahkan ke tanah tidak lama lagi.

Berbudi pada tanah tiada ruginya.

2 comments:

  1. Salam,

    Satu cadangan; boleh tanam pokok yang menghalau nyamuk tu, saya ada tengok di rumah prof kamil. menarik, boleh halau nyamuk juga jika di tanam di laman rumah.

    ReplyDelete
  2. macam menarik cuma kat mana nak cari benih atau anak pokok dia yer???

    ReplyDelete