Dia masih basah, kesan wuduk jelas kelihatan.
Dia sedang bersiap sedia untuk bersembahyang, hanya tinggal
bahagian kepalanya sahaja untuk ditutup sempurna sebelum sujud kepada Yang Esa.
Yang tua tiba-tiba menerjah masuk lalu mencuit tangannya.
Kulit bertemu kulit. “Batal air sembahyang Aisha!”
Berubah wajahnya, masam mencuka dan matanya tajam memandang
lelaki itu. “Pakcik jahat!”
Segera ditanggalkan telekungnya lalu menuju ke bilik air.
Tidak lama kemudian dia keluar lagi, basah dek kesan wuduk. Kaget Pakciknya
melihat anak saudaranya itu. “Kenapa ambil wuduk semula?”
Dengan nada kecewa Aisha membalas, “Wuduk Aisha batallah. Pakcik
sentuh Aisha tadi.”
Terburai ketawa Pakciknya. Aisha kelihatan hairan dengan
tindak-balas Pakciknya itu. Lenyap ketawa, Pakcik bertanya, ”Bukankah Pakcik muhrim Aisha?
Bukan muhrim sahaja malah boleh jadi wali untuk Aisha.”
Berkerut dahi Aisha, “Benarkah?”
Pakcik geleng-geleng kepala cuba mencari jalan ringkas
menerangkan ilmu fekah yang disalah tafsir oleh anak saudaranya itu. “Selagi
lelaki itu tidak boleh berkahwin dengan Aisha maka sentuhan Aisha dengan mereka
tidak membatalkan wuduk Aisha. Itulah muhrim. Pakcik tidak boleh kahwin dengan Aisha
maka Pakcik adalah muhrim Aisha dan jika bersentuhan maka ia tidak membatalkan
wuduk Aisha”
Mulut Aisha terbentuk seperti huruf O. “Oh, ingat hanya
dengan Abah, Atuk dan adik Umar sahaja tidak batal.”
Tersenyum Pakcik mendengarkan alasan anak saudaranya itu.
“Itulah sebabnya jangan menghafal semata-mata apabila belajar. Fahami
betul-betul ilmu itu kerana yang penting adalah aplikasi ilmu tersebut. Jika
tidak kita akan jadi seperti burung kakak tua. Pandai bertutur tetapi tidak
faham apa yang dituturkan.”'
Aduh, inikah generasi yang ingin dilahirkan. Pandai tetapi
tidak faham.
No comments:
Post a Comment