Seorang anak muda yang dahagakan ilmu bertanya kepada Abu
Nawas, “Mengapakah ada jawapan yang pelbagai untuk satu soalan yang sama?”
Tenang Abu Nawas menjawab, “Manusia itu terbahagi kepada tiga
cara penglihatan, penglihatan dengan mata kasar, penglihatan dengan akal dan
penglihatan dengan hati.”
Bertanya lagi anak muda itu, “Apakah yang dimaksudkan dengan
penglihatan dengan mata kasar itu?”
Abu Nawas menjelaskan, “Seseorang yang melihat
bintang-bintang di langit akan mengatakan bintang itu kecil kerana hanya
melihat dengan mata kasar.”
Bertanya lagi anak muda itu, “Apakah yang dimaksudkan dengan
penglihatan dengan akal itu pula?”
Sambil tersenyum, Abu Nawas menyambung, “Seseorang yang
melihat bintang-bintang di langit dan mengatakan bintang itu besar kerana ilmu
yang ada padanya mengenai bintang-bintang adalah orang yang melihat dengan
akal.”
Bertanya lagi anak muda itu, “Maka apa yang dimaksudkan
dengan penglihatan dengan hati itu pula?”
Bertambah lebar senyuman Abu Nawas lalu menjawab tenang, “Seseorang
yang bijaksana dan mengerti bahawa bintang itu besar namun tetap mengatakn ia
kecil kerana dia sedar bahawa Allah Maha Besar. Itulah orang yang melihat
dengan hati.”
Abu Nawas pun berlalu pergi meninggalkan anak muda itu.
No comments:
Post a Comment