June 23, 2011

Pandu Terus

"McDonalds ada buka dekat Taman Universiti sana," bersungguh-sungguh dia bercerita.

"Wah, makin maju Parit Raja," isteri saya menyambut. Saya tersengih sahaja mendengarnya.

"Yang seronoknya, boleh pandu terus," sambunnya lagi tanpa memperdulikan kata-kata isteri saya itu.

Dahi saya dan isteri mula berkerut. "Pandu terus?"

Dengan telor jawanya yang pekat, "Ala, kita naik kereta boleh beli terus tidak perlu turun-turun."

Jelas pada kami apa yang dimaksudkannya. "Ohhh, pandu lalulah, bukan pandu terus, pandu terus kok eksiden terus."

Pecah ketawa kami pagi itu. Penat saya memandu malam sebelumnya hilang terus.

Ketika saya mula-mula berkahwin, Parit Raja, Batu Pahat hanyalah pekan kecil dan saya menyukainya kerana menawarkan kelainan berbanding tempat asal saya, Kajang. Kini ia telah jauh berubah malahan kadang-kadang saya sendiri naik rimas dengan kesibukannya.

Restoran makanan segera yang tumbuh bak cendawan diharapkan tidak menjarakkan generasi muda dengan makanan tradisi seperti lontong, dodol, mee rebus, mee bandung dan sebagainya. Takut-takut anak muda kini lebih hafal menu restoran makanan segera berbanding resepi sambal goreng jawa.

June 22, 2011

Jangan Membaca Ketika Memandu

Statistik kemalangan jalanraya dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk tahun 2010 menunjukkan peningkatan ketara daripada 397,330 pada tahun 2009 kepada 414,421 pada tahun 2010. 6,260 daripadanya merupakan kemalangan maut. Jumlah kematian pula 6,872. Tinggi bukan untuk sebuah negara sekecil kita?

Banyak punca kemalangan. Mabuk, cuai ketika memandu, tidak mematuhi lampu isyarat atau papan tanda, mengantuk dan memandu laju adalah antara punca utama kemalangan. Saya kira PDRM, JKJR, JPJ malahan para pemimpin sudah jenuh bercakap dan mengingatkan kita semua tentang ini semua. Namun masih ramai yang lalai.

Petang tadi, saya menyaksikan sendiri seorang lelaki yang memandu sebuah SUV buatan Jepun leka membaca komik di dalam kesesakan jalanraya. Saya yang ingin menyelit di antara keretanya dan sebuah lori kecil pun teragak-agak melihatkan 70% tumpuannya lebih kepada komik itu. Ingin sahaja rasanya kaki ini menyepak pintu keretanya untuk menyedarkan perbuatan bahayanya itu. Dasar pemandu yang mementingkan diri sendiri.

Saya tidak pasti implikasinya jika saya meneruskan keinginan saya itu. Tapi jika itu boleh menjadi amalan semua pengguna jalanraya seperti mengetuk cermin kereta pelaku kesalahan, menjerit ke arahnya atau apa sahaja yang boleh menyedarkannya apa salahnya bukan? Ini sepak kereta sebab geram kena saman polis atau setelah berlakunya kemalangan.

Beringat sebelum kena. Jangan layan SMS, telefon, twitter ataupun Facebook ketika memandu. Ingat, keselamatan jalanraya adalah tanggungjawab kita bersama.

June 15, 2011

Dengan Siapa Kita Bertawakal?

“Engkau percaya rezeki itu daripada siapa?” tanya sahabat saya ketika sedang enak-enak menikmati nasi lemak dan milo ‘O’ panas di Kampung Baru.

“Tentulah dari Allah,” balas saya yakin.

“Aku nak kau berhenti kerja esok, boleh?”

“Gila apa kau? Bagaimana aku hendak beri anak bini aku makan?” cepat-cepat saya meningkah saranannya. Ada senyuman sinis di wajahnya.

“Jadi sekarang kau sebenarnya percaya rezeki itu daripada Allah atau majikan kau?” sahabat saya menyambung pertanyaannya. Saya terdiam, mata rasa berpinar-pinar, jantung berdegup kencang dan terasa peluh memercik di dahi.

“Ini soal akidah,” bisik hati ini.

“Kalau engkau percaya rezeki itu daripada Allah, apapun yang terjadi atau apapun yang hendak engkau buat, pergantungannya adalah kepada Allah bukan kepada apa-apa perantara. Majikan atau sesiapa sahaja adalah perantara sahaja,” sambung sahabat saya itu lagi melihatkan saya terdiam lama.

Pertemuan kami pagi itu yang pada asalnya adalah untuk bertanya khabar selepas lama tidak bertemu menjadi perbualan mencambah pemikiran tentang hakikat rezeki, perubahan sikap dan berani menghadapi risiko.

Saya juga kini mula menyemak semula hakikat tawakal yang sebenar.