April 11, 2011

Sate, Satu.

Kami bersalaman saat saya diperkenalkan, “Ini eksekutif baru kita, dari Semenanjung.”

Selepas bersalaman dengan ketua mereka saya diperkenalkan dengan anak-anak buahnya yang lain, bertukar-tukar senyuman dan saling memperkenalkan diri, “Dari negeri mana?”

“Selangor,” pendek balasan saya.

“Selangor di mana?” salah seorang daripada mereka pantas bertanya, pekat dialek Labuannya.

“Kajang,” tidak pasti mereka tahu atau tidak di mana tempat saya dibesarkan itu.

“Oh, Kajang. Pernah pergi. Satenya sedap,” tingkah seorang lagi.

Saya tersenyum bangga walaupun saya tidak pernah berniaga sate. Tiba-tiba saya terkejut dengan satu soalan luar jangka, “Jadi awak makan sate hari-harilah?”

Senyuman bangga itu bertukar kelat.

April 7, 2011

Bola Sepak?

Tidaklah pandai sangat namun tidaklah dikategorikan sebagai kaki bangku.

1988 – Darjah 4B (B itu kerana nama guru kelas adalah Cikgu Baba).


Kawan saya yang rendang-rendang sahaja tingginya berdiri di tengah padang ketika waktu rehat sambil memegang bola. Di belakangnya ada beberapa orang lagi bak juak-juak politik buat sidang akhbar.

“Hari ini cikgu suruh aku pilih pemain untuk mewakili pasukan bola sepak bawah 10 tahun sekolah kita,” ada nada bangga pada suaranya.

Sebentar sahaja satu barisan yang agak panjang dibentuk oleh kawan-kawan yang lain yang kepingin memanjangkan senarai aktiviti luar kelas mereka termasuk saya. Pemilihannya mudah, tendang bola ke arah gol, siapa boleh tewaskan penjaga gol itu maka dia boleh dipertimbangkan ke peringkat seterusnya.

Seorang demi seorang mengambil tendangan. Semakin lama semakin jelas unsur-unsur pilih kasih, neopotisme dan kronisme. Saya masih menyimpan harapan walaupun saya lebih banyak menghabiskan masa di kantin berbanding di padang bola.

Tiba giliran saya. Dub! Bola masuk. Saya pandang kawan saya yang rendang-rendang itu mohon dipertimbangkan.

“Kau sepak tonjol! Maaf!” jerit kawan saya itu tanpa rasa bersalah.

“Aku sepak masuk!” bantah saya.

“Tonjol! Cikgu tidak suka pemain sepak tonjol,” balasnya sambil menjual nama cikgu.

Di mana keadilan?

Apapun, pasukan bawah 10 tahun sekolah kami tidak ke mana tahun itu.

Sumber gambar : http://www.walkingtheamazon.com/2008/09/the-tranquil-ucayali/

April 5, 2011

Kubur

Dua tiga hari dan sebulan dari sekarang akan genaplah 4 tahun pemergian ibu yang tercinta. Dua hari lepas juga saya meluangkan masa menziarahi pusaranya. Kawasan kubur yang saya pernah geruni dahulu kini menjadi tempat bersemadinya kedua orang tua saya dan juga ramai orang yang saya kenali, ramainya lebih tua daripada saya dan sedikitnya baya-baya saya.

Dahulu, rumah saya dan kawasan kubur itu dipisahkan dengan pepohon getah, kemudian semak belukar dan kini diganti pula dengan padang bola.

Ketika saya sedang membersihkan kubur ibu saya itu sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran baru saya terperasan bahawa dari kubur ibu saya kini sudah boleh nampak terus tembok rumah dan atap rumah saya.

Teringat saya seloroh arwah bapa saya, “Senang berumah di tepi kubur, mati nanti senang nak tanam.”

Kini saya menghuni rumah pusaka mereka dan saya percaya seloroh yang sama nanti akan saya tuturkan.

Ya Allah, matikanlah aku dalam keadaan yang baik dan termasuk di dalam golongan yang beriman. Amin. Al-Fatihah untuk kedua orang tuaku.

March 30, 2011

Sumpah Alif Lam Lam Ha

Ketika kecil apabila berlaku tuduh menuduh di antara satu sama lain, frasa yang paling popular adalah, “Alif, Lam, Lam, Ha! Sumpah kau tidak menipu tadi?” sambil jari telunjuk digerak-gerakkan seolah-olah menulis huruf tersebut di atas badan kawan itu.

Jika kawan itu benar maka akan berlanjutanlah perang mulut silap-silap beradu tenaga, jika sebaliknya akan terdiam. Bagi menutup rasa malu biasanya frasa ini akan terkeluar, “Balik nanti aku cakap sama mak aku, aku cakap sama ayah kau.”

Itu budak-budak. Bersihkan hingus pun tidak habis. Hanya tahu bermain sahaja. Gaduhnya di situ-situ sahaja. Esoknya sudah berbaik-baik semula.

Budak-budak sekarang agaknya pelik tengok orang dewasa sekarang pun lebih kurang sama dengan mereka. Bezanya tidaklah orang dewasa bersumpah dengan huruf Alif, Lam, Lam, Ha. Orang dewasa kini sikit-sikit bersumpah angkat Al-Quran, di masjid malahan sampai masuk televisyen, dapat liputan akhbar lagi. Paling-paling lekeh pun masuk YouTube ataupun ada blogger tolong laporkan.

Bilanya bersumpah? Apabila menuduh sesuatu tanpa ada bukti konkrit. Apabila sudah puas menuduh itu ini dan bersumpah sana sini barulah hendak bawa kes ke mahkamah dengan harapan tuduhan itu dibenarkan.

Budak-budak yang belajar agama jadi pelik. Dalam Al-Quran sudah diajar kalau menuduh sesuatu biarlah ada bukti terutamanya dalam kes-kes yang jelas disebut dalam Al-Quran macam mencuri, membunuh, mimun arak dan berzina. Tapi orang dewasa kini, tuduh dulu, buat sidang akhbar sana sini baru buat laporan polis. Baru dibawa ke mahkamah. Mana satu yang betul? Tanya orang cerdik pandai, ada yang cakap A, ada cakap B dan ada yang C. Pening budak-budak.

Kadang-kadang apabila budak-budak yang main sumpah Alif, Lam, Lam, Ha ini terdengar oleh orang tua maka mereka akan diingatkan, “Jangan suka main sumpah, nanti kena makan sumpah!”



Tidak ada orang hendak tegur orang-orang dewasa yang suka main sumpahkah? Hendak harapkan sesumpah? Kerja sesumpah cuma hendak menyelamatkan dirinya sahaja.



Sikit-sikit sumpah.


Alif, Lam, Lam, Ha. Ada yang hendak kasi kuat lagi ditambah dengan, “Mim Ha, Mim, Dal.”



Budak-budak, akal pendek. Biarkanlah. Mujur budak-budak tidak tahu berCCTV.


March 28, 2011

Materialistik

“Kawan-kawan saya ramai yang bawa kamera begitu malah lebih canggih ini daripada itu ke sekolah begitu sahaja. Macam tidak takut hilang sahaja.” luah anak saudara saya kepada isteri saya sambil memegang kamera G12 milik saya.

Termenung saya apabila mendengarkan kisah itu. Kamera G12 itupun perlukan saya berfikir panjang mengenainya sebelum mengambil keputusan untuk membelinya.

Materialistik sudah menjadi galang ganti kepada saluran emosi dan kasih saying yang tidak terjadi antara ibu bapa dan anak-anak? Materialistik akan menjadi pengukur mutlak kebahagian?

Anak-anakku juga isteriku, biar kita miskin harta tapi kita kaya kasih sayang dan rahmat Allah.

March 26, 2011

Kebersihan

Hari ini, bersolat Zohor di sebuan stesen minyak. Musosyen*.

Tatkala hendak berwuduk, sedang leka berkumur-kumur di tempat berwuduk tiba-tiba mata menangkap segumpal kahak, hijau pekat warnanya, berenang-renang di saluran air enggan melepaskan lekapannya daripada simen. Hendak termuntah rasanya.

Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Itu yang telah diterapkan sejak kecil. Kahak di tempat wuduk bukan tanda kebersihan terjaga. Apabila kebersihan tidak terjaga maka keimanan pun kurang terjaga. Bersih itu bukan bersih fizikal semata tetapi juga bersih hati dan emosi. Kahak yang ditingalkan tanda tuannya tidak memperdulikan perasaan orang lain dan insan yang terpaksa membersihkannya (sayalah itu).

Ketika hendak solat, saya teringat firman Allah dalam Surah Al-Ankabut : 45 yang bermaksud :

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Aduhai diriku, semoga solat yang kudirikan menjadi benteng daripada aku berlaku sumbang di muka bumi Allah ini.

Teringat juga keadaan kebanyakan banyak masjid atau surau yang tidak terjaga kebersihannya terutama tandasnya. Manifestasi ke atas apakah semua ini?

*Musosyen – Musolla di stesyen.

March 24, 2011

Lapang Sebelum Sempit

Disember 2010 – Catatan terakhir saya.

Saya benar-benar sibuk dihambat dengan kerja. Pulang penat dan betul-betul memperuntukkan masa yang ada untuk keluarga. Tidak sanggup rasanya untuk alpa dengan tanggungjawab rohani dan emosi untuk keluarga.

Benarlah, rebutlah 5 perkara sebelum tiba 5 perkara dan salah satunya masa yang lapang sebelum datangnya masa yang sempit. Teringat dengan peruntukan 24 jam yang diberikan, ke manakah kita semua laburkan?

Masa untuk Allah. (ini paling utama)

Masa untuk Agama.

Masa untuk Keluarga.

Senarai ini boleh memanjang………

Yang penting, masa untuk Diri Sendiri.