Showing posts with label budaya. Show all posts
Showing posts with label budaya. Show all posts

October 11, 2011

Tosai


Salah satu menu rakyat Malaysia yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia tidak kira bangsa. Adunan tepung beras yang dimasak  di atas kuali leper dan dimakan dengan kuah dal, kari dan diserikan lagi dengan chutni kelapa.

Tetapi di sebalik tosai ini ada kisah yang menjadi pengajaran kepada saya sehingga ke hari ini.

Hari itu ada jamuan kelas. Setiap orang membawa makanan masing-masing dari rumah dan berbangga-bangga dengan masakan ibu mereka. Ada juga yang jelas-jelas makanan itu dibeli di gerai-gerai tepi jalan tetapi mereka tetap tidak mahu kalah dengan rakan-rakan yang lain. Semua makanan diletakkan di atas meja dan masing-masing tidak sabar-sabar menanti kedatangan guru sebagai tanda jamuan bermula. Ada nasi lemak, ada roti jala, ada kek, ada karipap dan ada juga tosai. 

Tosai?

Tosai itu dibawa oleh seorang murid India, seorang lagi kawannya membawa muruku sahaja. Mereka berdua sahajalah murid India di sekolah itu. Yang lainnya Melayu. Oleh sebab itu, mereka berdua seperti isi dan kuku. Ke kantin bersama, ke perpustakaan bersama, duduk bersama malahan ke tandas pun bersama. Tapi saya suka juga bercakap dengan mereka, berbual-bual ringan. Saya suka dengar mereka bercakap Melayu dengan telor India mereka, sambil-sambil itu saya tolong mereka betulkan beberapa perkataan yang mereka salah guna.Tetapi pada hari itu, mereka seperti terasing, budak-budak Melayu yang lain sibuk bermain sesama sendiri tetapi mungkin kerana mereka sudah biasa, mereka tidak kisah.

Tidak lama kemudian, guru kelas pun sampai.  Semua murid bersorak, murid India itupun bersorak sama. Ada ucapan dan ada juga persembahan daripada pelajar tidak kira apa jenispun, ada yang menyanyi, ada yang bersajak malahan persembahan yang tiada siapa faham pun ada. Tidak mengapalah, atas nama seni, kita sorakkan sahaja. Selepas itu? Masa untuk makan.

Sudah namanya budak, apabila tiba waktu jamuan seperti anak ayam kelaparan mengerumuni bekas dedak. Berebut-rebut kemudian tidak berhenti-henti bercakap. Tersembur makanan lalu diketawakan, memang tidak beradab.  Lama-kelamaan makanan pun habis. Yang tinggal cuma, tosai dan muruku nun di bucu meja. 

Tosai dan muruku sahaja?

Dua murid India berpandangan sesama sendiri. Bercakap sesama mereka di dalam bahasa Tamil. Raut wajah mereka menunjukkan mereka sangat berharap dapat seseorang akan mencuba makanan mereka. Semua sudut kelas mereka perhatikan, tiada siapa yang pedulikan mereka. Tiba-tiba mata mereka tertancap kepada saya. Tiada kata yang dikeluarkan tetapi bahasa anak mata mereka sangat saya fahami. Saya hampiri makanan mereka, muruku di dalam bungkusan plastik yang sudah terbuka. Tosai di dalam bekas makanan cantik terletak di atas daun pisang. Ada sekeping dua tosai, kuah dal pekat juga chutni kelapa.

Saya pandang mereka dengan wajah yang bersalah. “Maaf, saya tidak biasa makan benda ini.”

Ada raut kecewa pada wajah mereka. Perlahan mereka ambil bekas makanan mereka, ditutup kemas-kemas dan dimasukkan semula ke dalam beg mereka. Ketika rakan-rakan lain menyimpan bekas kosong, mereka membawa pulang makanan yang tidak terusik. Saya hanya mampu memandang mereka dengan pandangan sayu.

Maafkan saya Ganthimaty dan “R” (saya tidak ingat nama seorang lagi) kerana tidak menghargai makanan yang kamu bawa. Entahlah, benarkah kerana tidak biasa atau ada sedikit perasaan bahawa mereka bukan bangsa saya yang menyebabkan saya tidak mahu menjamah makanan mereka walaupun telah dipelawa. Selepas cuti sekolah akhir tahun pada tahun itu, mereka tidak ada lagi. Khabarnya sudah bertukar sekolah. Saya hanya dapat mengenang pandangan sayu mereka pada tahun sebelumnya.

Itu kisah tosai saya. Kisah yang apabila saya kenang kembali membuatkan saya lebih terbuka untuk menerima perbezaan di antara satu kaum dan agama yang lain. Yang penting kita hormat-menghormati dan saling memahami.

Kini, tiada tosai yang saya tolak.

September 28, 2011

Dakwah Yang Keliru

Sejak akhir-akhir ini saya ternanti-nanti hari Rabu malam Khamis untuk menonton filem Indonesia di Saluran 106. Baru sebentar tadi saya menonton Syahadat Cinta arahan Gunawan Paggaru. Kisah yang indah apatah lagi dengan sinematografi yang menarik.

Dalam babak-babak akhir hasil perseteruan dalam diam yang memuncak, saya menjadi kurang senang dengan adegan yang dipertontonkan. Apabila Iqbal (Arif Rahman) yang sedang cuba memulihkan Pricilia (Cantika Atmanagara) daripada pengsannya yang lari sehingga ke pesantren tempat Iqbal belajar daripada seksaan keluarganya akibat keputusannya memeluk agama Islam, laungan-laungan desakan agar Iqbal direjam kerana berkhalwat mula kedengaran. Semudah itukah menjatuhkan hukuman rejam?

Namun dalam Syahadat Cinta ini, desakan rejam tidak seberat seperti yang digambarkan di dalam kisah Perempuan Berkalung Sorban (arahan Branong Bramantyo) kerana Iqbal tetap dibawa ke muka pengadilan yang dihakimi oleh kiyai-kiyainya. Di dalam kisah Perempuan Berkalung Sorban, Anissa (Revalina S Temat) telah ditangkap basah dengan Khudori (Oka Antara) oleh penghuni pesantren. Malangnya tanpa pengadilan yang belum sempat dijalankan, mereka berdua terus dijatuhkan hukuman rejam atas tuduhan zina dan benar batu-batu direjamkan ke arah mereka. Mujurlah mereka diselamatkan oleh ibubapa Anissa yang juga merupakan pengasas pesantren itu.

Satu gambaran yang jauh menyimpang dalam kaedah menjatukan hukuman di sisi Islam.

Hukuman rejam, sebatan dan apa jua yang ditetapkan oleh Allah melalui Al-Quran dan ditunjukkan oleh Rasullullah melalui hadisnya menekankan konsep keadilan. Yang menuduh perlu bersaksi dan yang dituduh bersih sebelum sabit kesalahannya. Itulah sebabnya dalam kesalahan zina misalnya, 4 orang saksi diperlukan untuk mendakwa seseorang itu dan jika gagal membawa saksi maka penuduh pula boleh dikenakan hukuman.

Betapa adilnya sistem hukum Allah. Hukum Allah adalah hak mutlak Allah untuk kesalahan tertentu tetapi Allah menjaga keadilannya dengan menetapkan cara untuk mensabitkan kesalahan itu dan Rasulullah menunjukkan caranya, Oleh kerana Allah yang mencipta kita semua, maka hanya Allah yang tahu ubat terbaik untuk hamba-hambanya.

Berbalik kepada filem-filem yang diklasifikasikan sebagai filem Islam atau dakwah.

Pembikin-pembikin filem harus peka dengan tuntutan memberikan perspektif yang sebenar terhadap hukum-hakam Islam. Dengan memberikan gambaran yang sebenar bagaimana keadilan ditegakkan mengikut kacamata Islam maka para penonton dapat dididik dan diberi kefahaman sebenar mengenai keindahan hukum Allah itu. Kesilapan dalam memberikan sesuatu gambaran akan mengundang persepsi negatif seterusnya mungkin membawa kepada penolakan terhadap hukum Allah.

Seterusnya, saya dapati ada kecenderungan menunjukkan perbuatan maksiat itu sendiri seperti meminum arak. Sebagai contoh dalam filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham, adegan yang keterlaluan di dalam disko dengan gerakan wanita seksi menari dan meminum arak telah dipaparkan. Tidak bolehkah ditunjukan babak kesan meminum arak seperti muntah sejurus keluar daripada disko? Salah satu adegan yang sederhana yang hanya menunjukkan keadaan selepas membuat maksiat adalah babak di mana bapa Irham (Mustafa Kamal) ternampak seorang perempuan muda di atas katil anaknya, Irham (Awal Ashaari). Mudah dan ringkas menunjukkan zina telah berlaku di rumah itu dan diredhai oleh bapanya tanpa perlu menunjukkan sebarang perlakuan lucah.

Filem Kita, Wajah Kita adalah slogan yang dilaungkan oleh pejuang-pejuang seni negara. Penggiat-penggiat filem seharusnya lebih kreatif dalam menyampaikan mesej yang positif terutamanya apabila sesebuah filem atau drama itu diklasifikasikan sebagai cerita dakwah Islami. Bimbang, sesebuah filem itu akan membayangkan sejauh mana iman kita.

Sumber Rujukan : Wikipedia.

July 24, 2011

Kecil Yang Bermakna

Semalam, saya mengambil kesempatan membawa keluarga saya ke pusat Bandaraya Kuala Lumpur di salah satu tempat tumpuan ramai di Segitiga Emas Kuala Lumpur. Selepas usai membeli beberapa barang yang dirancang tibalah waktu solat Maghrib. Saya mengambil keputusan ke masjid walaupun gerimis.

Usai solat, kami terus berjalan pulang menuju ke kereta. Kami sekeluarga berjalan santai kerana jarak di antara masjid dan tempat letak kereta agak jauh juga. Dari kejauhan saya melihat seorang wanita berseluar gelap dan berbaju biru sedang khusyuk menyapu jalan dari daun kering yang bertaburan.


Saya berbisik sesuatu kepada anak sulung saya dan dia mengangguk sahaja. Apabila kami hampir sahaja dengan wanita si tukang penyapu itu anak saya dengan suara yang nyaring terus memberi salam, "Assalamuaikum."


Riak muka wanita itu jelas terkejut sehingga terhenti kerjanya namun dia pantas membalas salam anak saya. Ada nada riang padanya. "Waalaikumsalam anak...."


Panggilan anak itu adalah tanda keikhlasan yang jitu dari hatinya. Saya berfikir dalam 100 orang yang lalu lalang di tepinya ketika dia sedang menyapu itu, agaknya berapa ramailah yang memberi salam kepadanya, mendoakan kesejahteraan dan ucapan terima kasih tidak langsung kerana tanpanya mungkin jalan yang kami lalui itu tidak kondusif untuk dilalui.


Wanita si tukang sapu, semoga engkau ikhlas melalukan kerjamu itu dan rahmat Allah sentiasa bersamamu. Kepada pembaca sekalian, berikanlah salam sebanyak-banyaknya dan mungkin dengan salam itu akan menggembirakan seseorang insan yang lain.


Mudahnya beramal di sisi Allah. Walaupun kecil namun sangat bermakna.

June 23, 2011

Pandu Terus

"McDonalds ada buka dekat Taman Universiti sana," bersungguh-sungguh dia bercerita.

"Wah, makin maju Parit Raja," isteri saya menyambut. Saya tersengih sahaja mendengarnya.

"Yang seronoknya, boleh pandu terus," sambunnya lagi tanpa memperdulikan kata-kata isteri saya itu.

Dahi saya dan isteri mula berkerut. "Pandu terus?"

Dengan telor jawanya yang pekat, "Ala, kita naik kereta boleh beli terus tidak perlu turun-turun."

Jelas pada kami apa yang dimaksudkannya. "Ohhh, pandu lalulah, bukan pandu terus, pandu terus kok eksiden terus."

Pecah ketawa kami pagi itu. Penat saya memandu malam sebelumnya hilang terus.

Ketika saya mula-mula berkahwin, Parit Raja, Batu Pahat hanyalah pekan kecil dan saya menyukainya kerana menawarkan kelainan berbanding tempat asal saya, Kajang. Kini ia telah jauh berubah malahan kadang-kadang saya sendiri naik rimas dengan kesibukannya.

Restoran makanan segera yang tumbuh bak cendawan diharapkan tidak menjarakkan generasi muda dengan makanan tradisi seperti lontong, dodol, mee rebus, mee bandung dan sebagainya. Takut-takut anak muda kini lebih hafal menu restoran makanan segera berbanding resepi sambal goreng jawa.