Showing posts with label Pengajaran. Show all posts
Showing posts with label Pengajaran. Show all posts

October 11, 2011

Tosai


Salah satu menu rakyat Malaysia yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia tidak kira bangsa. Adunan tepung beras yang dimasak  di atas kuali leper dan dimakan dengan kuah dal, kari dan diserikan lagi dengan chutni kelapa.

Tetapi di sebalik tosai ini ada kisah yang menjadi pengajaran kepada saya sehingga ke hari ini.

Hari itu ada jamuan kelas. Setiap orang membawa makanan masing-masing dari rumah dan berbangga-bangga dengan masakan ibu mereka. Ada juga yang jelas-jelas makanan itu dibeli di gerai-gerai tepi jalan tetapi mereka tetap tidak mahu kalah dengan rakan-rakan yang lain. Semua makanan diletakkan di atas meja dan masing-masing tidak sabar-sabar menanti kedatangan guru sebagai tanda jamuan bermula. Ada nasi lemak, ada roti jala, ada kek, ada karipap dan ada juga tosai. 

Tosai?

Tosai itu dibawa oleh seorang murid India, seorang lagi kawannya membawa muruku sahaja. Mereka berdua sahajalah murid India di sekolah itu. Yang lainnya Melayu. Oleh sebab itu, mereka berdua seperti isi dan kuku. Ke kantin bersama, ke perpustakaan bersama, duduk bersama malahan ke tandas pun bersama. Tapi saya suka juga bercakap dengan mereka, berbual-bual ringan. Saya suka dengar mereka bercakap Melayu dengan telor India mereka, sambil-sambil itu saya tolong mereka betulkan beberapa perkataan yang mereka salah guna.Tetapi pada hari itu, mereka seperti terasing, budak-budak Melayu yang lain sibuk bermain sesama sendiri tetapi mungkin kerana mereka sudah biasa, mereka tidak kisah.

Tidak lama kemudian, guru kelas pun sampai.  Semua murid bersorak, murid India itupun bersorak sama. Ada ucapan dan ada juga persembahan daripada pelajar tidak kira apa jenispun, ada yang menyanyi, ada yang bersajak malahan persembahan yang tiada siapa faham pun ada. Tidak mengapalah, atas nama seni, kita sorakkan sahaja. Selepas itu? Masa untuk makan.

Sudah namanya budak, apabila tiba waktu jamuan seperti anak ayam kelaparan mengerumuni bekas dedak. Berebut-rebut kemudian tidak berhenti-henti bercakap. Tersembur makanan lalu diketawakan, memang tidak beradab.  Lama-kelamaan makanan pun habis. Yang tinggal cuma, tosai dan muruku nun di bucu meja. 

Tosai dan muruku sahaja?

Dua murid India berpandangan sesama sendiri. Bercakap sesama mereka di dalam bahasa Tamil. Raut wajah mereka menunjukkan mereka sangat berharap dapat seseorang akan mencuba makanan mereka. Semua sudut kelas mereka perhatikan, tiada siapa yang pedulikan mereka. Tiba-tiba mata mereka tertancap kepada saya. Tiada kata yang dikeluarkan tetapi bahasa anak mata mereka sangat saya fahami. Saya hampiri makanan mereka, muruku di dalam bungkusan plastik yang sudah terbuka. Tosai di dalam bekas makanan cantik terletak di atas daun pisang. Ada sekeping dua tosai, kuah dal pekat juga chutni kelapa.

Saya pandang mereka dengan wajah yang bersalah. “Maaf, saya tidak biasa makan benda ini.”

Ada raut kecewa pada wajah mereka. Perlahan mereka ambil bekas makanan mereka, ditutup kemas-kemas dan dimasukkan semula ke dalam beg mereka. Ketika rakan-rakan lain menyimpan bekas kosong, mereka membawa pulang makanan yang tidak terusik. Saya hanya mampu memandang mereka dengan pandangan sayu.

Maafkan saya Ganthimaty dan “R” (saya tidak ingat nama seorang lagi) kerana tidak menghargai makanan yang kamu bawa. Entahlah, benarkah kerana tidak biasa atau ada sedikit perasaan bahawa mereka bukan bangsa saya yang menyebabkan saya tidak mahu menjamah makanan mereka walaupun telah dipelawa. Selepas cuti sekolah akhir tahun pada tahun itu, mereka tidak ada lagi. Khabarnya sudah bertukar sekolah. Saya hanya dapat mengenang pandangan sayu mereka pada tahun sebelumnya.

Itu kisah tosai saya. Kisah yang apabila saya kenang kembali membuatkan saya lebih terbuka untuk menerima perbezaan di antara satu kaum dan agama yang lain. Yang penting kita hormat-menghormati dan saling memahami.

Kini, tiada tosai yang saya tolak.

December 19, 2010

Dino Alive!

Anak cuti sekolah manakala bapa sibuk bekerja. Itu yang saya alami dan terus diburu rasa tidak senang. Hati saya remuk apabila pulang lewat malam, anak-anak berebut-berebut mendapatkan saya malah bergaduh-gaduh sesama sendiri hanya untuk menceritakan sesuatu kepada saya. Kenyataannya mereka rindu kehadiran saya di hati mereka dan pastinya perhatian yang mereka perlukan. Sebahagian usaha saya mengubat hati mereka, mereka saya bawa ke Pusat Sains Negara untuk melawat Dino Alive. Teringin juga saya melihat patung-patung dinasor dari jarak dekat maklumlah selama ini hanya melihat T-Rex, Brachiosaurus, Eoraptor dan lain-lain lagi di buku-buku, majalah mahupun di filem seperti Jurrasic Park.

Keinginan hanya tinggal keinginan, anak-anak semua menangis ketakutan melihat dinasor-dinasor tersebut (mengapalah penganjur tidak letak sahaja bahan pameran di tempat yang terang dan tiada bunyi-bunyi yang menakutkan?). Akhirnya kami banyak beraktiviti dengan bahan-bahan pameran yang lain di Pusat Sains Negara. Secara amnya kami sekeluarga tetap gembira dengan bahan yang ada.

Gambar 1 : Bayangan T-Rex menerjah mimpi Fateh.

Namun, di sinilah saya berasa kecewa (pada bahan pameran). Pusat Sains Negara tidaklah segah namanya. Kesemua ruang pamerannya ditutup kerana kerja-kerna pengubahsuaian. Mengapa semua? Tidak bolehkah dilakukan peringkat demi peringkat agar pengunjung sekurang-kurangnya dapat melawat ruang pameran yang lain? Belum lagi saya sebut bahan-bahan pameran yang tidak diselenggara sempurna, rosak dan lain-lain lagi. Saya amat berharap pihak pengurusan Pusat Sains Negara yang bernaung di bawah MOSTI dapat melihat perkara ini dengan lebih menyeluruh. Jika PETROSAINS boleh diselenggara dengan baik dan ada sahaja kakitangan yang sedia membantu para pengunjung untuk mendapatkan panduan dan penerangan tentang bahan pameran mengapalah Pusat Sains Negara tidak boleh?

Saya menyokong mana-mana pusat perkongsian ilmu seperti pusat sains, muzium dan zoo diselenggara dengan sebaik-baiknya. Di samping dapat memacu ekonomi, daya intelektual rakyat akan dapat sentiasa diransang dengan pelbagai program di tempat-tempat seperti ini. Saya tidak rasa rugi membayar yuran yang tinggi untuk ‘hiburan bermaklumat’ berbanding poket saya kering kerana melawat gedung membeli belah. Namun, biarlah berbaloi dengan apa yang kita bayar!



July 24, 2010

Mesin Rumput

Assalamualaikum,

Dua minggu yang lalu saya telah membeli sebuah mesin rumput galas dengan harga RM310 sahaja. Saya teruja dengannya kerana hasrat untuk memilikinya sudah saya simpan sekian lama dan kini ia menjadi ‘alat permainan’ baru saya.

Selang beberapa hari kemudian, mesin rumput tersebut hilang dicuri orang. Innalillah.

Saya tidak tahu kepada siapa hendak saya persalahkan namun apabila isteri menegur, “Daripada hari awak beli mesin rumput itu sudah saya ingatkan supaya disimpan elok-elok tapi awak letak juga di sini,” maka saya meletakkan kesalahan itu di atas bahu saya sendiri. Sudah lumrah pencuri, tuan punya barang terlalai seketika, lesaplah barang tersebut dicuri. Jika saya mendengar pesanan isteri saya tempoh hari pasti saya tidak kehilangan mesin rumput itu. Nasi sudah menjadi bubur.

Mujurlah sempat juga saya bermain dengannya sekali.