October 27, 2010

Arak

Pada suatu malam saya melangkah masuk ke kedai 24 jam, 7-Eleven (7-Sebelas). Tekak terasa amat kering lalu peti sejuk kedai tersebut tempat pertama saya tuju. Saya mengambil sedikit masa untuk memilih air, dari satu pintu peti sejuk ke satu pintu saya buka.

Di hujung sana seorang warga Indonesia pantas membuka pintu peti sejuk yang paling hujung lalu mengeluarkan 3 botol besar yang kacanya berwarna hitam dan label botolnya berwarna biru bertulisan emas dan ada lukisan kepala harimau di sana. Tiba-tiba satu daripada botol-botol tersebut tergelincir daripada pegangnya.

"Prangg...." bunyi kaca botol hitam itu pecah. Air berwarna kuning jernih persis air kencing itu mengalir perlahan ke arah saya. Cepat-cepat saya beralih tempat.

Dengan pantas seorang pekerja lelaki membawa sebatang mop dan sebaldi air lalu membersihkan serpihan kaca dan air. Wajahnya masam mencuka kerana terpaksa membersihkan arak!

Saya berasa pening, bau masam aral itu menusuk tajam ke hidung saya. Cepat-cepat saya mengambil setin minuman ringan.

Di kaunter, saya berkata dengan wajah kelat-kelat masam, "Bau arak sangat busuk, bersihkanlah betul-betul ya!"

Gadis kaunter menarik sedikit mukanya, "Bau macam itu pun ada orang yang sanggup minum, ishhh, saya tidak fahamlah."

Di dalam hati saya membalas tidak terkeluar di lidah saya, "Kamu bekerja di sini pun ada sahamnya juga."

Namun, saya bersetuju dengan kata-kata gadis kaunter itu. Lalu saya teringat larangan Allah terhadap arak di dalam Surah Al-Maidah ayat 90 iaitu :

"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, Qurban untuk patung berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu memperolehi kejayaan."

Arak itu adalah ibu kejahatan.

October 25, 2010

Untung

Adik saya, Pak Di, baru menghasilkan sebuah buku iaitu Rancang Wang Dari Sekarang (RWDS). Saya tidak suka tumpang popular, saya sayalah, dia dialah. Masing-masing ada cara tersendiri. Ringkasnya, saya faham tentang kewangan dan saya tidaklah sampai berani ingin berkongsi-kongsi cukup untuk kegunaan diri sendiri.

Apapun, suatu hari saya minta 3 naskah buku daripada adik saya. Puas saya promosikan di pejabat dan hanya terjual 2 naskah sahaja yang kebetulan pembelinya memang tercari-cari buku seperti itu. Puas saya rasa. Pertama dapat juga jual walaupun 2 naskah sahaja. Keduanya dapat membantu pembeli tersebut memahami ilmu kewangan peribadi untuk diaplikasikan. Jual buku seperti ini di pejabat orang yang bergaji besar memang berhadapan dengan pandangan yang cukup negatif.

Semoga saya untung dunia dan akhirat. Amin.

October 22, 2010

Pemungut Sampah

Di dalam kesesakan lalu lintas yang saban hari warga kota tempuhi, saya dan kuda besi merah saya berhenti di Bulatan Sungai Besi bersebelahan dengan kilang roti Federal Bakery yang semakin sukar saya temui. Sabar menanti peluang untuk menyeberang jalan.

Muncul sebuah lori sampah dari sebelah kanan, perlahan sahaja. Memikirkan anak isteri yang mungkin meratap hiba melihat jenazah saya dengan kepala yang hancur saya nantikan saat yang lebih sesuai. Di ruang kokpit lori itu ada 3 orang lelaki pertengahan usia sedang berbual-bual sehingga salah seorang daripada mereka tersenyum-senyum mendengar celoteh rakannya.

Saya kaget, "Eh, ada seorang lagi di belakang kepala lori."

Seorang anak muda, kurus badannya berdiri sambil menutup hidungnya dengan sehelai tuala 'Good Morning'. Hanyir bau sampah hasil kerja warga kota pasti menusu-nusuk kuat hidungnya. Agaknya dia pekerja baru yang sedang melalui saat suai kenal dengan para seniornya atau ruang kokpit itu hanya muat-muat untuk 3 orang sahaja.

Satu perasaan bangga tersemai di hati saya terhadap anak muda itu. Dia memang pemungut sampah yang diletakkan jauh di bawah kelas masyarakat tapi dia bukan pemimpin yang diagung namun bobrok akhlaknya ataupun penagih dadah yang kemas penampilannya tetapi penghancur anak bangsa.

Dia memang pemungut sampah yang dikelilingi hanyir sampah dan busuknya sisa makanan kerana wangin dan harumnya sudah menusuk ke hidung Tuhan.

October 21, 2010

Hari Jadi

Setiap hari ramai orang menyambut ulangtahun kelahiran mereka. Ada berbilion umat Nabi Muhammad mustahillah jika ada satu hari dalam setahun tiada kelahiran.

Lazimnya kita semua akan bergembira dengan kedatangan hari lahir kita semua. Daripada ucapan selamat sehinggalah kepada menganjurkan parti besar-besaran. Majoriti akan ada sedikit upacara seperti tiup lilin dan potong kek. Bagi yang berkemampuan, hadiah diberikan.

Apa kata kita ubah cara menyambut hari ulangtahun? Sebelum sambutan seperti di atas dianjurkan kita renung pencapaian kita. Adakah apa yang dicita-citakan selama ini tercapai? Adakah kita menjadi warga bumi yang baik? Dan yang penting sekali adakah hubungan kita sesama manusia terutamanya dengan Allah cemerlang?

Setahun umur kita beranjak, semakin hampir kita dengan janji Allah iaitu kematian.

October 20, 2010

Coccinellidae a.k.a Ladybird

Coccinellidae atau ‘ladybird’ atau kumbang kecil atau kumbang kura-kura merupakan antara serangga kegemaran saya ketika kecil dahulu. Bentuknya yang membujur bulat berbadan merah dihiasi dengan tompokan kecil bersambung dengan kepala hitamnya yang bersesungut menyebabkan saya sentiasa mencarinya ketika bermain di rimbunan rumput. Lazimnya apabila terjumpa dengan kumbang kecil menawan ini saya akan biarkan ia merayap di atas badan saya sambil berbangga-bangga dengan kawan-kawan.

Tempoh hari, isteri saya membuat coklat buatan sendiri dan dibentukkan coklat itu kepada kumbang kecil berwarna merah jambu. Kenangan di atas terimbau dan saya sendiri sudah tidak pasti sudah berapa lama saya tidak berjumpa dan bermain dengan kumbang kecil ini. Di rumah inilah saya dibesarkan dan di rumah ini jugalah saya berlari-lari mengejar kumbang kecil ini tetapi itu semua ketika saya kecil lagi. Belum baligh pun.

Ke manakah si kumbang kecil ini? Saya ingin sekali berkongsi kenangan manis saya ketika kecil dengan anak-anak saya namun tanpa kehadiran si kumbang kecil pasti saya tidak bisa melakukannya. Jika kumbang kecil ini sudah hilang di kawasan rumah saya maka ini mungkin bukti betapa dahsyatnya pembangunan fizikal tidak terbatas sehingga merentap hak kumbang kecil untuk hidup sekaligus melenyapkan keceriaan anak-anak kecil zaman milineum kini yang ingin bermesra dengan alam.